KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diingatkan supaya tidak mensia-siakan pelaburan besar sekiranya mengikat Hajime Moriyasu sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.
Sebaliknya, badan induk itu perlu menggunakan habis-habisan kepakaran jurulatih berkaliber itu supaya berbaloi dengan gaji mahal yang diberikan.
Justeru, FAM harus memanfaatkan Moriyasu menerusi peranan tambahan merangkumi pembangunan jurulatih tempatan dan pemain muda agar kepakarannya tidak 'terbiar' begitu sahaja di luar tempoh pertandingan rasmi.
Pemerhati sukan, Zakaria Rahim menegaskan bahawa meskipun beliau menyokong penuh pelantikan Moriyasu namun beliau mahukan FAM memaksimumkan kepakaran jurulatih kelas dunia itu dengan memindahkan kepakarannya kepada jurulatih utama tempatan serta pembangunan pemain akar umbi sesuai dengan gaji yang tinggi.









