MELAKA: Keuntungan tahunan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang pernah mencecah antara RM30 juta hingga RM40 juta perlu diterjemahkan kepada manfaat lebih besar untuk anggota, keluarga dan veteran tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi penawaran barangan keperluan harian pada harga lebih rendah di 80 premis PERNAMA yang beroperasi di kem tentera seluruh negara.
Katanya, langkah berkenaan selaras dengan usaha memastikan PERNAMA bukan sekadar menjana keuntungan, malah berperanan sebagai instrumen yang membantu meningkatkan kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, PERNAMA mempunyai kelebihan menerusi rangkaian premisnya di seluruh negara, selain menikmati kadar sewaan tapak yang rendah hasil kemudahan disediakan kerajaan.









