Seremban: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan akan beroperasi seperti biasa esok.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan sebarang keputusan berkaitan penutupan institusi pendidikan akibat jerebu adalah tertakluk kepada ketetapan, kriteria dan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta perkembangan semasa.
"Merujuk kepada ketetapan dalam Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019, semua aktiviti di luar bilik darjah, termasuk Pendidikan Jasmani, aktiviti kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka, hendaklah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100," katanya dalam kenyataan hari ini.








