GEORGE TOWN : Seorang penuntut wanita berusia 21 tahun dijumpai meninggal dunia di bawah blok asrama Universiti Sains Malaysia (USM) di Jalan Bukit Gambir, Gelugor di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa ditemukan oleh petugas kebersihan USM kira-kira pukul 7.25 pagi dalam keadaan terlentang di atas lantai simen di bawah blok asrama berkenaan.
Menurutnya, pihak polis sebelum itu menerima satu panggilan daripada USM kira-kira pukul 8.40 pagi yang memaklumkan mangsa disyaki terjatuh dari sebuah bangunan.
“Hasil siasatan yang dijalankan di tempat kejadian, tiada sebarang unsur jenayah dikesan. Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa seterusnya mendapati, terdapat beberapa kesan kecederaan luaran yang dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi,” katanya di sini, hari ini.










