KUALA LUMPUR: Peminat muzik tanah air, khususnya di wilayah Utara, bakal menikmati pengalaman seni yang lebih dekat dan penuh emosi menerusi showcase Nyawa by Black Hanifah yang dijadualkan berlangsung di Grand Alora Hotel, Kedah, November ini.
Persembahan eksklusif itu mengetengahkan konsep penceritaan visual dan audio yang membawa penonton menyelami perjalanan seni Black Hanifah, selain mengimbau deretan karya terbaik sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan tanah air.
Mengangkat tema “Nyawa – Bukan Sekadar Hiburan, Tetapi Kisah Kehidupan”, showcase berkenaan dirangka sebagai sebuah pengalaman muzik yang melangkaui persembahan biasa dengan menggabungkan karya seni, perkongsian pengalaman dan penghayatan emosi.









