KUALA SELANGOR: "Arwah sepatutnya menerima sijil ijazah pada majlis konvokesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, pada 27 Oktober ini.
"Segala persiapan untuk hari bersejarah itu sudah dibuat termasuk jubah konvokesyen yang diambil minggu lalu dan baju baharu dibeli. Tak sangka kemalangan itu meragut nyawanya," kata Erny Nurul Fatihah Baharuddin, 35.
Erny adalah kakak ipar kepada Ahmad Haikal Azhari, 23, yang maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya merempuh belakang sebuah lori kontena yang diletakkan di tepi jalan, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi di Jalan U10/99, Perindustrian Alam Awana, Seksyen U10 Puncak Alam, anak bongsu dari empat beradik itu tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah di kepala.








