MELAKA – Walaupun telah menyatakan hasrat untuk memberi laluan kepada calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tetap bersedia bertanding sekiranya khidmatnya masih diperlukan BN.Sulaiman yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya soal pencalonan kepada pucuk pimpinan parti."Walaupun saya sudah maklumkan hasrat saya tapi kalau dipaksa dan terpaksa, kita tetap kena bantu dan bertanding," katanya pada Khamis.Sebelum ini, media melaporkan Sulaiman yang telah menyandang kerusi DUN Lendu selama tiga penggal sejak 2013 berhasrat untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini bagi memberi peluang kepada individu lain.Sulaiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, pengundi ketika ini semakin terbuka dan bijak menilai kualiti seseorang calon."Pengundi sekarang lebih bijak. Mereka bukan sahaja melihat parti, tetapi lebih fokus kepada kualiti dan perwatakan calon."Mereka melihat sama ada calon itu boleh didekati, mendampingi rakyat, serta boleh dipimpin dan memimpin," katanya.Untuk rekod Sulaiman menjadi calon utama atau poster boy BN pada PRN Melaka 2021 dan berjaya mempertahankan kerusi DUN Lendu dengan memperoleh 4,486 undi serta majoriti 3,104 undi.Kemenangan itu turut menyumbang kepada kejayaan BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.