MELAKA: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dikatakan berminat untuk bertanding di kawasan itu mewakili Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR.

Menurut sumber, Idris masih mempunyai pengaruh dan 'nama besar' di DUN Sungai Udang, kawasan yang pernah diwakilinya sebelum ini.

Pada PRN lalu, beliau bertanding di DUN Asahan atas tiket PKR dalam gabungan PH, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Fairul Nizam Roslan dalam pertandingan enam penjuru.

Sekiranya hasrat itu menjadi kenyataan, beliau mungkin berdepan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin dan bekas wakil rakyat Paya Rumput.