KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Denmark, hari ini.
Pasangan ranking ke-10 dunia itu melakar kemenangan straight set 21-15, 21-13 dalam aksi pusingan pertama di Arena SJF Bank, sekali gus meneruskan penguasaan ke atas lawan di ranking ke-43 dunia itu dengan kemenangan kelima berturut-turut tahun ini.
Soon Huat berkata, mereka sudah mengenali corak permainan lawan selepas beberapa kali bertemu musim ini.
"Namun, kami tetap melakukan persiapan rapi dengan memberikan penekanan kepada rentak permainan dan kelajuan bulu tangkis bagi memanfaatkan peluang menyerang," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).






