KUALA LUMPUR: Pengawasan keselamatan di sektor Kudat, Sabah akan dipertingkat menerusi perolehan radar dan kamera jarak jauh berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), bagi memperkukuh kawalan sempadan maritim negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata perolehan aset itu dirancang di bawah Pelan Pelaksanaan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 2028, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan pengawasan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan turut dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan tidak sah.

"Berdasarkan penilaian keselamatan semasa oleh ESSCOM (Eastern Sabah Security Command), sektor perairan Kudat, Pulau Banggi dan Pulau Balambangan yang berhadapan dengan Pulau Balabac, Filipina dikenal pasti sebagai antara kawasan yang memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.