KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menghubungkan 25 syarikat pembuatan dan perkhidmatan Malaysia dengan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO) dan TNB Renewables Sdn Bhd untuk meneroka peluang dalam rantaian bekalan tenaga boleh baharu (TBB).

Menurut MIDA dalam kenyataan hari ini, sesi padanan perniagaan itu diadakan di bawah Program Rantaian Bekalan Tenaga Boleh Baharu yang julung kali dianjurkan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata peralihan tenaga Malaysia bukan hanya mengenai meningkatkan kapasiti TBB; ia juga adalah peluang untuk memperkukuh syarikat Malaysia, membangunkan keupayaan khusus dan menjana nilai ekonomi yang lebih besar dalam negara.