ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) merancang menyediakan dana pembangunan bernilai AS$6.35 bilion (RM25.95 bilion) bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk diagihkan kepada 211 persatuan anggota serta konfederasi serantau.

Rancangan itu dijangka mendapat kelulusan Majlis FIFA dalam mesyuarat di Zurich, Khamis ini, menurut sumber yang rapat dengan perkara berkenaan kepada Agensi Berita AFP.

Dana berkenaan akan dibiayai, sebahagiannya, menggunakan rizab kewangan FIFA selepas kejayaan komersial Piala Dunia 2026.

Menerusi cadangan itu, setiap satu daripada 211 persatuan anggota FIFA berpotensi menerima AS$25 juta (RM102.16 juta) bagi tempoh empat tahun berkenaan, jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding AS$10 juta (RM40.86 juta) yang dicadangkan oleh dua pengkritik utama Presiden FIFA, Gianni Infantino.