KUALA LUMPUR: Sistem MyDigital ID menggunakan ciri Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA) yang mewajibkan pengguna melalui lebih satu tapisan pengesahan sebelum sebarang akses diberikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini bertujuan memperkukuh keselamatan identiti digital pengguna serta mengurangkan risiko kebocoran, penipuan, penyamaran dan kecurian identiti semasa mengakses perkhidmatan dalam talian yang diintegrasikan dengan MyDigital ID.

Beliau berkata, kerajaan kekal tegas dan komited dalam memastikan keselamatan serta perlindungan identiti digital rakyat sentiasa terpelihara.

Komitmen itu kata beliau, selaras aspirasi kerajaan memperkukuh ekosistem digital negara, di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap penggunaan perkhidmatan dalam talian kerajaan.