SINGAPURA: Singapura mengumumkan komitmen tambahan sebanyak S$30 juta (RM95.89 juta) bagi tempoh lima tahun untuk memperkukuh usaha pembangunan keupayaan keselamatan siber serantau menerusi Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE).

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Josephine Teo, berkata komitmen baharu itu adalah tambahan kepada komitmen S$30 juta (RM95.7 juta) yang dibuat Singapura bagi pembangunan keupayaan keselamatan siber serantau sepanjang lapan tahun lalu.

Beliau berkata, pelaburan itu akan menyokong usaha membangunkan keupayaan keselamatan siber dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara ASEAN ketika rantau ini berdepan ancaman siber yang semakin canggih serta peningkatan kesalinghubungan digital seiring dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI).