PETALING JAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat tindakan menangani jerebu dengan memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat, khususnya murid sekolah.
Nadma dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu merangkumi mesyuarat penyelarasan secara berkala, pemantauan kualiti udara berterusan serta tindakan segera oleh agensi berkaitan.
Menurutnya, langkah berkenaan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara pada 16 September lalu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kuching, Sarawak.
Penyelarasan itu turut diperkukuh menerusi perbincangan antara agensi pada 13 Oktober lalu membabitkan Nadma, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).








