PUTRAJAYA – Bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi bukan sekadar sumbangan kewangan sebaliknya tanda penghargaan kerajaan kepada komuniti itu yang kini berdepan pelbagai komitmen kehidupan.

Seorang pemandu teksi, Siti Mariam Samsuri, 45, berkata, ia bantuan pertama diterima oleh kerajaan sejak memandu teksi secara sepenuh masa sejak lima tahun lalu.

Dia yang juga ibu tunggal berkata, sumbangan itu amat bermakna kerana dapat membantu menampung keperluan keluarganya, terutama menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun depan.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan Madani kerana memberi sumbangan ini. Sedikit sebanyak, bantuan ini membantu meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas bagi zon tengah di sini hari ini.