MIRI – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Bekenu maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran sekolahnya di Kilometer 55, Lebuh Raya Pan Borneo, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.10 tengah hari itu ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah.
“Nahas membabitkan sebuah kereta dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun yang dalam perjalanan dari arah Miri menghala ke Bakong. Setiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai melanggar pejalan kaki yang juga seorang pelajar sedang melintas jalan.
“Akibat perlanggaran itu, pelajar itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.









