KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan memfailkan permohonan baharu di Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB), selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya, hari ini.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembelaan memilih untuk mengemuka permohonan penangguhan terus kepada Mahkamah Rayuan bagi mempercepat proses berkenaan, berbanding melalui proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

"Kami akan pergi ke Mahkamah Rayuan untuk memfailkan permohonan sama. Sepatutnya boleh mendapat penangguhan kerana rayuan terhadap kes utama itu akan mengambil masa bertahun-tahun," katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, di sini.