ALOR GAJAH: Seorang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dalam perjalanan pulang selepas menziarah pusara ibunya di Kuala Selangor, Selangor, semalam.

Nurul Fatehah Alya Kamaruaf'fandi, 20, yang bersendirian menunggang motosikal Honda Vario 160 dipercayai terbabas sendiri dalam nahas di Kilometer 211.4, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, sekitar jam 5.30 petang.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke kampus UTeM di Melaka.

Pentadbiran UTeM memaklumkan, mangsa adalah penuntut Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).