KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap sepasang kekasih yang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki akibat kecuaian di Kampung Gondang, Ketereh, di sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Maizatul Shima Abdullah, 25, manakala teman lelakinya, Muhammad Za'im Syakir Sha'ari, 24, dipenjara tujuh tahun, berkuat kuasa tarikh mereka masing ditangkap.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar pampasan RM2,500 setiap seorang kepada keluarga mangsa, mengikut Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.

Maizatul dan Za'im akan berdepan hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar pampasan berkenaan.