KUALA LUMPUR: Usaha melindungi harimau Malaya yang diancam kepupusan memerlukan tindakan segera dan bersepadu bagi membendung kemerosotan populasi seterusnya mengelakkan spesies itu daripada pupus.

Presiden Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU), Lara Ariffin, berkata populasi harimau negara yang merosot kepada kurang daripada 150 ekor berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan (2016-2020) menunjukkan bahawa pemangsa puncak itu kini berada di ambang kepupusan.

"Kita sudah kehilangan badak Sumatera. Harimau kini berada di ambang titik kritikal dan jika kita tidak mengambil sebarang tindakan, spesies ini akan menuju kepupusan, sesuatu yang tidak mampu kita biarkan berlaku sebagai sebuah negara," katanya dalam temu bual bersama Bernama di luar persidangan Global Tipping Points Conference 2026, di sini hari ini.