Shah Alam: Semua sekolah agama negeri di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan beroperasi seperti biasa esok sehingga dimaklumkan kelak.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu turut terpakai kepada sekolah Islam persendirian di negeri berkenaan.
"Namun, ibu bapa atau penjaga diberikan pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan tahap kesihatan mereka dan hendaklah memaklumkan ketidakhadiran anak kepada pihak sekolah.
"Pihak sekolah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar kelas, dan guru serta pelajar yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup separuh muka sebagai langkah berjaga-jaga manakala pelajar yang mengalami akut lelah serius hendaklah diawasi rapi oleh pihak sekolah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.








