JAKARTA: Sebanyak 277,075 kes jangkitan saluran pernafasan akut direkodkan di tujuh wilayah Indonesia yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah setakat 12 Oktober lalu.
Ketua Biro Komunikasi dan Maklumat Awam Kementerian Kesihatan Indonesia, Aji Muhawarman, berkata pemantauan berterusan dilakukan bagi mengesan kemungkinan peningkatan kes serta memperkukuh langkah menangani risiko kesihatan awam.
Beliau berkata, kementerian itu dengan kerjasama kerajaan wilayah turut mempertingkatkan pengawasan penyakit, perkhidmatan kesihatan, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dan pengagihan bekalan logistik.
Setakat 12 Oktober, seramai 2,106 petugas perubatan dan kesihatan dikerahkan, manakala lebih 2.8 juta pelitup muka diagihkan menggunakan stok simpanan kerajaan pusat dan wilayah.








