IPOH: Lebih 35 rumah dilaporkan terjejas akibat ribut yang berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah Larut, Matang dan Selama, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Larut, Matang dan Selama, Kapten (PA) Ahmad Fakhrur Razi Md Noor, berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 3.30 petang melalui aduan yang dikemukakan oleh Pejabat Penghulu Mukim Matang.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada hujan lebat berserta angin kencang dan berlarutan selama kira-kira sejam bermula 3 petang.

"Cuaca buruk itu telah menyebabkan bumbung beberapa rumah penduduk diterbangkan angin, selain kejadian pokok tumbang di beberapa kampung sekitar Mukim Matang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.