KOTA BHARU: Seorang guru berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan satu akibat kecuaian dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, April lalu.

Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, turut berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali atas pertuduhan mencederakan seorang lagi pelajar dalam kejadian sama.

Bagaimanapun, Sakinah me­ngaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah sehingga menyebabkan kematian Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin.