PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu menambahbaik pemakluman penutupan dan pembukaan semula sekolah yang terjejas akibat jerebu supaya ibu bapa dan guru dapat melakukan persiapan sewajarnya untuk murid.

Isu ini timbul susulan rungutan ibu bapa terhadap pemakluman penutupan sekolah yang dianggap terlalu lambat sehinggakan ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk membantu anak-anak menjalani Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, pihaknya menerima rungutan daripada ibu bapa berhubung permasalahan itu dan melihat penambahbaikan perlu dibuat di masa depan.