KUALA LUMPUR: Kemeriahan Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT 2026) tidak berakhir sebaik tirai malam kemuncaknya dilabuhkan, sebaliknya diteruskan menerusi Cuckootopia, konsert penghargaan ulang tahun ke-12 Cuckoo Malaysia yang bakal menghimpunkan bintang popular Korea Selatan, Lee Junho, serta barisan penghibur tempatan.
Konsert yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pada 24 Oktober ini dari jam 6 petang hingga tengah malam itu menjadi acara susulan bagi melanjutkan kemeriahan AMT 2026, sekali gus memberi ruang kepada peminat menikmati pengalaman hiburan berbeza selepas malam anugerah.
Selain Lee Junho yang juga Duta Global Cuckoo, Cuckootopia turut menampilkan kumpulan Hujan dan penyanyi Firdhaus. Acara itu akan dikendalikan oleh Kamal Adli, Owen Yap dan Fiza Frizzy.








