KUALA LUMPUR: Penyediaan pakej lengkap merangkumi sokongan pascalatihan dan pemberian kit permulaan perniagaan dilihat sebagai formula baharu bagi memastikan peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian menerusi Belanjawan 2027 benar-benar berkesan dalam membasmi kemiskinan.

Langkah itu disifatkan mampu mengubah fungsi TVET daripada sekadar platform melatih modal insan kepada instrumen transformasi sosioekonomi yang mampu membantu golongan B40 keluar daripada kitaran kemiskinan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Khairul Anuar Abdul Rahman, berkata intervensi berkenaan perlu merangkumi latihan kemahiran, pensijilan industri, penyediaan peralatan, inkubasi perniagaan dan bimbingan berterusan supaya peserta dapat memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.