Johor Bahru: Khabar gembira buat warga Johor apabila Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 bakal menceriakan hujung minggu warga selatan bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Karnival anjuran Media Prima yang berlangsung selama tiga hari di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, menjanjikan pelbagai tawaran menarik serta aktiviti mesra keluarga yang meraikan semangat kebersamaan masyarakat tempatan.
Memasuki penganjuran tahun ke-23, acara yang diiktiraf sebagai Longest Running Outdoor Carnival oleh The Malaysia Book of Records ini secara puratanya menarik lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi penganjuran.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti pertandingan karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, pertandingan mewarna, sesi Zumba, Jom Lokal Jam, serta sesi temu mesra bersama barisan pelakon drama TV3 dan personaliti TV9.






