Kuala Lumpur: Peningkatan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak RM47.7 bilion bagi 2027 perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kapasiti hospital awam, menambah baik akses rawatan dan mengurangkan kesesakan pesakit, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana serta rendah.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustaza Mansor berkata, peruntukan besar itu perlu disusuli penambahbaikan kemudahan kesihatan serta penambahan tenaga perubatan bagi memastikan rakyat mendapat rawatan yang lebih mudah dan cepat.
Beliau berkata, kos rawatan di klinik serta hospital swasta yang semakin membebankan menyebabkan sebahagian rakyat memilih mendapatkan rawatan di hospital kerajaan serta menyumbang kepada kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang.









