BARU-baru ini, beberapa institusi perbankan telah memperkenalkan kad kredit asas mampu milik. Ketika ramai pengguna berdepan dengan tekanan kos sara hidup, inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah wajar.

Berbanding kad kredit biasa, kad ini menawarkan kos pembiayaan yang lebih rendah. Kadar faedah maksimum yang dikenakan adalah 14 peratus setahun. Kadar ini kurang empat peratus berbanding kad kredit biasa. Walaupun perbezaannya hanya empat peratus, ia dapat mengurangkan kos faedah yang ditanggung pengguna.

Apa yang lebih menarik, kad ini tidak mengenakan faedah secara kompaun. Dalam bahasa mudah, pengguna tidak perlu membayar faedah atas faedah yang telah dikenakan sebelumnya. Ciri ini dapat membantu mengurangkan risiko hutang daripada terus meningkat akibat pengkompaunan faedah.