KUALA LUMPUR: Sembilan bank yang menguasai kira-kira 62 peratus pasaran kad kredit negara dijangka menawarkan kad kredit asas dengan kadar pembiayaan 14 peratus menjelang November ini, sekali gus menyediakan pilihan pembiayaan lebih mampu milik kepada pengguna.

Kad kredit asas itu menawarkan struktur produk lebih ringkas dengan faedah tidak dikompaun, tanpa ganjaran dan kemudahan premium yang lazimnya ditawarkan menerusi kad kredit konvensional.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Norhana Endut, berkata pihaknya menekankan kepentingan penilaian kemampuan pembayaran balik dan langkah perlindungan pengguna bagi memastikan akses kepada pembiayaan kekal bertanggungjawab serta mampan.

Katanya, pilihan pengguna kekal sebagai elemen penting dalam memastikan sistem kewangan berfungsi dengan baik, termasuk ketika institusi perbankan memperkenalkan produk pembiayaan yang memenuhi keperluan berbeza.