PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) melancarkan Kad Kredit CIMB Lite-i, kad kredit tanpa ciri tambahan berlebihan yang direka untuk rakyat Malaysia yang mahukan kemudahan kredit praktikal dengan kos pembiayaan lebih rendah serta pilihan bayaran balik yang fleksibel.
CIMB menawarkan antara kemudahan kad kredit yang paling berpatutan dalam pasaran menerusi kadar keuntungan tetap dan tidak dikompaun sebanyak 14 peratus setahun untuk semua peringkat pelanggan, lebih rendah berbanding kadar industri semasa.
Kad berkenaan disasarkan kepada pelanggan yang mengutamakan kemampuan dan akses kepada kemudahan kredit secara bertanggungjawab berbanding ganjaran atau keistimewaan gaya hidup.
Ia sekali gus sesuai untuk membantu pengguna mengurus perbelanjaan harian serta keperluan aliran tunai jangka pendek.










