KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,289 kes buli direkodkan di sekolah termasuk asrama bagi tempoh Mac hingga Ogos lalu dengan buli fizikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,480 kes.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 1,386 kes membabitkan buli lisan diikuti 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius setiap kejadian buli yang membabitkan murid sama ada di sekolah mahupun di asrama.

“Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.