SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan penahanan seramai 60,889 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sehingga September, sebanyak 10,419 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan melibatkan pemeriksaan terhadap 138,089 individu."Selain penahanan 60,889 PATI, JIM turut menahan 1,815 majikan kerana disyaki melindungi dan menggajikan PATI."Setiap operasi yang dijalankan bukan sekadar serbuan, sebaliknya merupakan manifestasi amanah yang digalas oleh JIM selaras dengan prinsip Kerajaan Madani dalam menjaga kedaulatan negara, menjamin keselamatan serta menegakkan undang-undang secara adil dan berintegriti," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Menurut beliau, statistik yang direkodkan bukan sekadar angka, sebaliknya menggambarkan ketegasan serta iltizam JIM dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan demi keselamatan negara."Ini mencerminkan komitmen JIM dalam menjunjung nilai akauntabiliti, profesionalisme dan keselamatan nasional seperti yang digariskan di bawah kerangka Madani," katanya.Zakaria menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.Menurutnya, fokus operasi bukan hanya tertumpu kepada PATI, malah terhadap majikan yang masih berdegil menggajikan warga asing tanpa dokumen sah."Sasaran kita bukan sahaja PATI tetapi juga majikan yang terus menggajikan mereka."Tindakan boleh diambil terhadap majikan yang terlibat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63," katanya.Beliau berkata, JIM akan terus memperkukuh aspek penguatkuasaan serta mempercepatkan usaha reformasi perkhidmatan yang berteraskan integriti bagi memastikan kepentingan rakyat dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.