KUALA TERENGGANU - Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa luluh hati sepasang suami isteri apabila kehilangan dua anak lelaki akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh tujuh bulan.Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, dan isterinya Zaleha Awang, 47, bagaimanapun reda dengan pemergian Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, pada 6 Mac lepas dan Ahmad Areesy Zafreen, 16, pada Selasa.Ahmad Azhar dari Kampung Batin, Seberang Takir berkata, dia mendapat berita tentang kemalangan anak keduanya itu daripada penduduk kampung kira-kira jam 5.30 petang Selasa."Pada petang kejadian, angah (Ahmad Areesy Zafreen) keluar bawa adik perempuannya Areesya untuk bersiar-siar di sekitar taman perumahan. Ketika itu, saya sedang membaiki kereta di depan rumah sebelum orang kampung datang beritahu anak saya kemalangan … dah meninggal."Saya terus bergegas ke tempat kejadian kira-kira 200 meter dari rumah. Sampai di sana saya tengok anak lelaki saya sudah tidak bernyawa akibat cedera teruk di kepala. Saya minta kawan-kawan di sana uruskan jenazah anak dan bawa anak perempuan untuk rawatan ke hospital," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Rabu.Ahmad Azhar berkata, kesedihan mereka sekeluarga setelah kehilangan Ahmad Azreeq ketika dalam perjalanan bercuti di Cameron Highlands masih belum hilang.Dia berkata, kejadian itu menyebabkan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di HSNZ trauma dan terpaksa bercuti selama empat bulan."Anak sulung kami meninggal dalam kemalangan di Kampung Bukit Jeruk, Besut ketika kami sekeluarga dalam perjalanan ke Cameron Highlands pada bulan puasa. Dia menunggang motosikal seorang diri, sementara kami enam beranak menaiki kereta."Isteri saya baru sahaja masuk bekerja kira-kira tiga bulan selepas bercuti panjang kerana bersedih atas pemergian Ahmad Azreeq. Semalam pula, angah meninggal akibat kemalangan. Memang tak dapat digambarkan kesedihan kami," katanya.Bapa kepada lima anak itu berkata, jenazah Ahmad Areesy akan disolatkan di Masjid Khalifah Taman Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara, dekat sini.Dia berkata, kehilangan kedua-dua anak lelakinya amat dirasai oleh tiga adik-beradik yang lain memandangkan hubungan mereka sangat rapat."Angah anak yang baik dan pendiam. Selepas ketiadaan abangnya, dialah yang kami harapkan untuk membantu menjaga adik-adik, terutama anak istimewa kami yang berusia 12 tahun," katanya. - Bernama