TAWAU: Suspek kes samun bersenjata bertindak agresif dan cuba menyerang anggota polis dalam operasi di Kampung Titingan di sini, Jumaat lalu menyebabkan tembakan amaran terpaksa dilepaskan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang, 9 Oktober lalu.

Rosdi berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan menjalankan operasi di perkampungan air berkenaan.

Beliau berkata, operasi bertujuan mengesan suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi, hari sama.