Kota Bharu: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh dan lapan tahun terhadap sepasang kekasih yang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki di Kampung Gondang, Ketereh, di sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap tertuduh wanita, Maizatul Shima Abdullah, 25, manakala tertuduh lelaki, Muhammad Za'im Syakir Sha'ari, 24, dihukum penjara selama tujuh tahun.

Mahkamah juga memerintahkan kedua tertuduh membayar pampasan sebanyak RM2,500 setiap seorang kepada keluarga mangsa mengikut Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.

Maizatul dan Za'im akan berdepan hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar pampasan berkenaan.