Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pemilik unit di Residensi Prima Tebrau bayar ganti rugi dan kos RM15,000 kepada Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia. (Gambar PR1MA)PETALING JAYA: Pemilik 86 unit skim perumahan mampu milik diperintah membayar ganti rugi kepada sebuah agensi persekutuan selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru memutuskan tuntutan bagi pampasan tambahan berhubung kelewatan penyerahan melanggar perjanjian penyelesaian sedia ada.

Hakim Wong Mee Ling dalam membenarkan tuntutan balas Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), memerintahkan setiap pemilik unit di Residensi Prima Tebrau membayar ganti rugi nominal RM10,000 kepada agensi itu berserta kos RM5,000.

Pemilik berkenaan sebelum ini memeterai perjanjian penyelesaian dengan PR1MA bagi ganti rugi ditetapkan (LAD) dan telah menerima bayaran penuh, namun bertindak memfailkan saman bagi menuntut pampasan tambahan atas kelewatan penyerahan unit mereka.