KUALA LUMPUR: MCE Holdings Bhd (MCE) memperoleh kontrak baharu bernilai RM23.29 juta bagi membekalkan komponen elektronik automotif kepada pembekal komponen automotif berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Datuk Dr Goh Kar Chun, berkata kontrak yang dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd itu membabitkan pembekalan komponen elektronik automotif termasuk unit kawalan elektronik paparan (Display ECU) bagi program kenderaan di AS.
Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan selama 60 bulan bermula tahun kewangan 2027 (FY2027), sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan itu dalam pasaran automotif AS.
Katanya, projek itu akan memperkukuh kehadiran syarikat dalam pasaran AS selain menambah senarai program jangka masa panjang kumpulan.









