MELAKA: Bekas pemandu trak tunda dijatuhi hukuman 15 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku salah menyebabkan kematian rakan yang mayatnya disumbat dalam beg pakaian dan dibakar bersama kereta, enam tahun lalu.
Hakim, Datuk DJP Suria Kumar menjatuhkan hukuman terhadap AS Sitambarasan, 34, selepas menerima pengakuan tertuduh atas pertuduhan pilihan, menimbangkan hujah pendakwaan mengenai kepentingan awam, rayuan pembelaan dan fakta kes.
Hukuman berkuat kuasa tarikh tertuduh ditangkap 23 September 2020.
Suria berkata, tindakan tertuduh menyebabkan kematian Sua Chun Chai, 31, sebelum memasukkan mayat mangsa ke dalam beg pakaian untuk dilupuskan, membeli minyak petrol dan membakar kereta mengandungi mayat itu adalah perbuatan amat kejam.










