Las Vegas: Bekas ketua kumpulan geng dijatuhi hukuman penjara 40 tahun hingga seumur hidup pada Selasa kerana merancang pembunuhan bintang hip-hop, Tupac Shakur, dalam serangan tembakan dari kenderaan pada 1996 di Las Vegas, sekali gus menamatkan pendakwaan bagi kes pembunuhan yang sekian lama tidak dapat diselesaikan dan mencorakkan era kegemilangan muzik rap.
Duane "Keffe D" Davis, 63, yang didapati bersalah oleh juri pada Ogos atas kesalahan membunuh tahap pertama, tidak menunjukkan sebarang emosi ketika dijatuhi dua hukuman penjara berturut-turut, masing-masing 20 tahun hingga seumur hidup, iaitu bagi kesalahan membunuh dan menggunakan senjata berbahaya.
Dalam prosiding selama sejam di mahkamah Las Vegas, Davis yang digari pada pinggang dan memakai pakaian penjara berwarna biru sempat bertengkar dengan hakim mengenai jumlah pengurangan hukuman yang layak diterimanya berdasarkan tempoh tahanan yang sudah dijalani. Namun, dia tidak banyak bercakap sepanjang prosiding itu.








