Kuala Lumpur: Seorang daripada lima rakyat Malaysia yang ditahan bersama lima kilogram kokain di Jepun mendakwa dia diberitahu bahawa petugas lapangan terbang sudah menerima bayaran bagi memastikan mereka tidak diperiksa.
Dakwaan itu dilaporkan Fuji News Network (FNN) pada Isnin lalu, yang memetik kenyataan suspek lelaki berusia 24 tahun mengenai cubaan membawa masuk dadah melalui Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
"Saya diberitahu petugas lapangan terbang sudah dibayar, jadi kami tidak akan diperiksa. Sebab itu saya berasa lega," katanya seperti dilaporkan FNN.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan lapangan terbang yang dimaksudkan atau mengemukakan pengesahan bahawa sebarang sogokan benar-benar berlaku.









