Kuching: Kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans-Borneo yang dicadangkan menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia selesai pada 7 Ogos lalu, dengan Kerajaan Persekutuan kini meneliti dapatan kajian sebelum menentukan langkah pelaksanaan seterusnya.

Kajian yang dijalankan Kementerian Pengangkutan Persekutuan itu menilai pelbagai aspek pembangunan rangkaian kereta api berkenaan termasuk teknikal, jajaran laluan, permintaan, sosioekonomi dan alam sekitar.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, laporan akhir kajian berkenaan sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu untuk pertimbangan.

Beliau berkata, laporan itu turut merangkumi penilaian aspek kewangan, pembiayaan dan pelaksanaan bagi membantu kerajaan menentukan pendekatan paling sesuai untuk projek berkenaan.