Putrajaya: Rakyat Malaysia di Riyadh, Arab Saudi, dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas dengan insiden keselamatan yang berlaku di negara itu setakat ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya menerima laporan harian daripada Kedutaan Malaysia di Riyadh dan Konsulat Malaysia di Jeddah bagi memantau keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang bekerja dan melanjutkan pengajian di negara berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun rakyat Malaysia di sana dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan awam dan lokasi strategik yang berpotensi menjadi sasaran, selain berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Katanya, mereka juga digalakkan menggunakan kemudahan e-Konsular untuk berhubung dengan pihak kedutaan sekiranya memerlukan bantuan.