KUALA LUMPUR: Sekitar 250 pelajar Malaysia yang menuntut di universiti di Riyadh, Madinah dan Makkah dilaporkan dalam keadaan selamat dengan rutin kuliah berjalan seperti biasa.

BH difahamkan, di Riyadh, susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, beberapa universiti di bandar raya itu mula menjalankan sesi kuliah secara dalam talian, berkuat kuasa Ahad lalu, sementara di Makkah dan Madinah, pembelajaran diteruskan secara bersemuka.

Seorang pelajar Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 25 yang juga mahasiswa Universiti Imam Muhammad ibn Saud, terletak di kawasan Baladiyah al-Shemal, di Riyadh, berkata sekitar 90 pelajar Malaysia menuntut di beberapa universiti di Riyadh.