KUALA LUMPUR: Kilauan pingat perak Sukan Asia 2026 gagal diterjemahkan kepada kejayaan di pentas dunia apabila skuad pecut berpasukan wanita negara terkandas pada pusingan kelayakan Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 di Shanghai, China hari ini.
Trio yang dibarisi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nur Alyssa Mohd Farid mencatat masa 48.366 saat (s) untuk menduduki tempat ke-11 daripada 18 pasukan yang mengambil bahagian, sekali gus gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk mara ke pusingan pertama.
Great Britain mengungguli kelayakan dengan catatan 45.842s, diikuti China (45.912s) manakala Jerman di tempat ketiga (46.303s).
Bagaimanapun, pencapaian di Shanghai itu berbeza dengan aksi trio berlainan di Sukan Asia apabila Nurul Izzah, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa menghadiahkan pingat perak selepas mencatat masa 48.566s dalam perlumbaan akhir.








