KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 8,054 slot penajaan menerusi Program Dermasiswa B40 tahun ini bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.
Keputusan penajaan program bagi lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 itu boleh disemak menerusi Portal Penajaan JPA di https://penajaan.jpa.gov.my sehingga jam 5 petang, 22 Oktober ini.
JPA dalam kenyataan memaklumkan penajaan itu membabitkan pengajian di universiti awam (UA), politeknik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.
JPA berkata, bidang pengajian yang ditaja di UA dan politeknik merangkumi kejuruteraan dan teknikal/teknologi, sains, sains sosial/sastera serta seni bina, manakala penajaan di institusi TVET MARA dan ILKA membabitkan program diploma dalam bidang TVET.










