Kuala Lumpur: ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB) akan menawarkan 35 pakej pengurusan fasiliti bernilai keseluruhan dianggarkan RM12.7 juta kepada kontraktor tempatan bagi tahun 2027, menjelang fasa pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pakej berkenaan merangkumi perkhidmatan pembersihan premis, penyelenggaraan landskap, kawalan makhluk perosak, penyelenggaraan am bangunan serta sistem penyaman udara dan akan melalui proses perolehan yang ditetapkan.

Pada masa sama, EOSB turut menyediakan 65 ruang niaga seperti kios dan 'pushcart' di stesen ECRL, sekali gus membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menyertai ekosistem pengoperasian rangkaian rel berkenaan.

Ruang niaga itu akan meliputi penawaran makanan dan minuman, barangan runcit serta keperluan perjalanan, produk tempatan dan cenderamata selain perkhidmatan berkaitan penumpang.