Batu Pahat: Dua pelajar lelaki Tingkatan Lima yang mengaku bersalah menghina seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi komen di media sosial, diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret, Mustaqim Sukarno, mengeluarkan perintah itu yang perlu disempurnakan kedua-dua pelajar berusia 17 tahun dalam tempoh enam bulan.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 selama setahun, selain menetapkan sekatan keluar rumah dari jam 10 malam hingga 6 pagi serta mengarahkan mereka melapor diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap dua bulan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar itu didakwa menggunakan perkataan menghina menerusi komen jelik terhadap mangsa yang juga rakannya berusia 17 tahun di aplikasi TikTok.






